Dato' Ab. Rashid Mat Adam


Saudara Abdul Rashid Mat Adam atau lebih dikenali dengan panggilan Rashid Mc Adam adalah seorang pelajar yang sangat aktif dalam bidang sukan. Beliau dan saudara Abdul Rahim Yusoff adalah merupakan dua ahli sukan yang tiada tolok bandingnya semasa zaman persekolahan. Hampir kesemua jenis sukan dimonopoli oleh mereka -bola sepak, vollyball, sepak takraw, rugbi, hoki dan acara padang termasuk lari dalam guni. Pendek kata, jika terdapatnya larian merentas desa atau ‘cross country’, alamatnya kita akan ditinggalkan beratus-ratus ela hingga letih terjelir-jelir dibuatnya. Bahkan, boleh dikatakan, jika kita makan berguni-guni ‘glucose’ sekalipun, tidak akan dapat kita mengejar mereka!


Walaupun saudara Rashid sangat aktif dalam bidang sukan, namun daripada segi pelajarannya tidak diabaikan. Beliau seorang yang sangat teliti apabila melaksanakan sesuatu pekerjaan, khususnya kerja rumah atau ‘homework’. Ramai rakan-rakan yang akan meniru kerja-kerja yang telah disiapkan beliau. Idola beliau ialah Cikgu Zainuddin Saad.


Setelah lulus MCE, beliau memasuki tingkatan enam dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam bidang kesusasteraan (Perhubungan Antarabangsa). Selepas memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera (BA Hons) pada tahun 1974, dan sepertimana saudara Muhammad Noor Yaacob, beliau menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik dengan tugasan awal di Jabatan Perkhidmatan Awam (PSD).


Selepas 10 tahun di PSD, beliau ditugaskan di beberapa kementerian dan jabatan kerajaan termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat serta Kementerian Dalam Negeri. Pada tahun 1996, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Dadah Kebangsaan Malaysia. Semasa dalam perkhidmatan kerajaan, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang Pertadbiran Awam di Universiti of Southern California, Los Angeles, USA.


Jawatan terakhir beliau sebelum bersara pada tahun 2008 ialah Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Dalam Negeri.